Tuesday, 4 October 2016

Melayan tetamu

#Tazkirah Tuesday#
ُالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحمَٰنِ الرَّحِِيم
اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ
وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّد

Tazkirah 03 Muharram 1438 @ 04 Oktober 2016

Seorang Mukmin Akan Melayan Tetamunya Dengan Baik.

Maksud tetamu adalah seorang yang menziarahi seseorang samada dijemput atau tidak dijemput.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim.” (HR Bukhari).

Menghormati dan memuliakan tetamu adalah sunnah rasul dan nabi. Malah, Nabi Ibrahim a.s adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan baik.

Allah SWT merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!”, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah Dzaariyaat ayat 24-27)

Di antara adab memuliakan tetamu dianjurkan Islam ialah:

i. Menyambut tetamu dengan perasaan gembira dan wajah yang manis.

ii. Saling bertanya khabar berita serta bertukar-tukar cerita yang baik.

iii. Sedaya-upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga agar tidak diketahui tetamu.

iv. Menyajikan hidangan makanan kepada tetamu.

v. Menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam di rumah.

vi. Sediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah.

vii. Tidak terlalu berkira, tak pula terlalu berlebihan dan bukan dengan niat untuk bermegah-megah dengan rezeki serta kemewahan yang ada.

Rasulullah SAW bersabda: “Bertamu (menziarah) itu tiga hari dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu.” (HR Bukhari)

Adab tetamu yang hadir antaranya adalah:

i. Mengucapkan salam ketika sampai dirumah yang hendak di ziarahi.

ii. Bersalaman ketika bertemu.

iii. Tidak menetap melebihi 3 hari atau boleh melebihi tempoh itu asal mendapat keizinan tuan rumah.

iv. Menjaga batas aurat dan pergaulan dan jangan terlalu bebas bergerak dan dapatkan keizinan tuan rumah terlebih dulu.

Sesungguhnya tetamu mengundang rahmat daripada Allah SWT menghilangkan dosa penghuni rumah dan menjanjikan pahala sedekah buat tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan tetamu menurut tuntutan Islam.

Semoga kita dikurniakan akhlak para solihin..aamiiin

Semoga bersama beroleh manfaat

Selamat beramal dan beristiqomah.

No comments:

Post a Comment

Secebis Pesanan untuk Anak-Anak Ibu

Buat anak-anak yang Ibu dikasihi, Abg Faaz Mikael⁩, Kak Leen Humaira⁩ & Hana Sofea… Tidaklah Ibu melahirkanmu dengan niat untuk menjadik...