Monday, 25 May 2020

Post Ramadhan

RAMADHAN TELAH PERGI, ISTIQAMAHLAH DI ATAS JALAN KETAATAN KEPADA TUHAN-MU.

Sesungguhnya Ramadhan telah berakhir. Namun pelbagai amal soleh tetap kekal sepanjang tahun.

Apabila Ramadhan berakhir, mudah-mudahan amal soleh kita akan terus berkekalan sepanjang hidup kita dan menemani kita di alam kubur nanti.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Beberapa peringatan untuk kita semua :

1) Peliharalah Solat Fardhu agar didirikan pada awal waktu dan dilaksanakan secara berjemaah.

2) Lazimilah Solat Sunat Rawatib semampu mungkin.

3) Berusahalah untuk istiqamah mendirikan Solat Sunat Witir pada setiap malam.

4) Sentiasalah berusaha untuk konsisten mengamalkan Zikir Selepas Solat, Zikir Pagi dan Petang serta zikir dan doa yang sahih daripada Rasulullah ﷺ pada setiap hari.

5) Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendirikan Solat Malam walaupun sekadar dua rakaat.

6) Teruskanlah memperbanyakkan sedekah dan perasan belas ihsan kepada insan-insan yang memerlukan.

7) Pertingkatkanlah prestasi ibadah diri sendiri dan serulah ke arah kebaikan insan-insan di sekelilingmu terutamanya isteri, anak-anak, adik beradik serta sahabat-sahabat yang lain.

8 ) Teruskanlah berdoa semoga Allah menerima amal soleh yang telah dilakukan serta mudah-mudahan dikurniakan rezeki untuk bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya.

9) Tingkatkanlah kesungguhan menuntut ilmu untuk memahami agama Allah dengan sebaik-baiknya serta berusahalah bersungguh-sungguh untuk memperjuangkannya dan memelihara kesuciannya daripada dicemari pelbagai fahaman dan ideologi yang merosakkan agama yang mulia ini.

10) Berusahalah sedaya upaya untuk melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawwal sebagai tanda kesungguhan untuk istiqamah di atas jalan kebaikan dan demi menelusuri sedekat mungkin Sunnah Rasulullah ﷺ.

Sabda Rasulullah ﷺ :

"Sesiapa yang telah menyempurnakan Puasa Ramadhan, kemudian mengikutinya dengan Puasa Sunat Enam Syawwal, seolah-olah dia telah menyempurnakan ibadah puasa sepanjang tahun". 

Hadith riwayat al-Imam Muslim rahimahullah.

"Ya Allah, berkatilah umur kami, kurniakanlah kekuatan kepada kami untuk terus istiqamah di atas jalan ketaatan kepada-Mu sepanjang hayat kami dan anugerahkanlah kepada kami rezeki untuk mati di atas jalan ketaatan kepada-Mu".

الفقير إلى رحمة الله ومغفرته،
أبو عمار مدني،
عفا الله عنه وعن والديه وعن جميع المسلمين.

Semenyih, Selangor.
Isnin, 2 Syawwal 1441H - 25 Mei 2020

Salehuddin bin Abu Samah,
https://www.facebook.com/salehuddin.binabusamah

No comments:

Post a Comment

Secebis Pesanan untuk Anak-Anak Ibu

Buat anak-anak yang Ibu dikasihi, Abg Faaz Mikael⁩, Kak Leen Humaira⁩ & Hana Sofea… Tidaklah Ibu melahirkanmu dengan niat untuk menjadik...