Baru-baru ini saya membaca tentang kematian. Takut jugak lah. Macam-macam saya fikir.
Ye la.. Saya ni banyak juga dosa, cuma Allah sembunyikan aib saya daripada orang tahu. Hmmm...
Saya jadi takut, risau amalan saya berniatkan dunia semata-mata. Jadi, saya ubah beberapa perkara.
Masya-Allah, ianya sangat memberi ketenangan, motivasi dan rasa gembira di hati saya.
Sebelum melakukan apa-apa, saya niatkan,
"Ya Allah, jika hari ini adalah hari terakhirku di dunia ini, jadikanlah amalan ini sebaik-baik amalanku untuk bertemu denganMU. Ikhlaskanlah diriku".
Terutamanya semasa saya melakukan kerja rumah, menguruskan anak-anak, melayani tantrum anak-anak serta mengajarkan sesuatu perkara kepada mereka.
Saya niatkan ayat itu. Sungguh, emosi saya rasa tenang dan saya menjadi gembira melaluinya.
Semasa saya mahu pergi kerja pun saya niatkan macam tu.
"Ya Allah, jika hari ini adalah hari terakhir aku di dunia ini, KAU jadikanlah pekerjaan ku ini sebaik-baik amalan untuk bertemu denganMU. Ikhlaskanlah diriku".
Kawan,
ketika kita letih, lelah urusan dunia, mahu berhenti melakukan kebaikan dan mula berkira-kira tentang sesuatu, niatkanlah kembali ayat ini.
Ia mengubah keseluruhan semangat kita. Menyuntik motivasi serta menggembirakan hati kita dengan segera. Seolah-olah ketenangan itu masuk terus mengawal diri kita.
Kita tidak pernah tahu bilakah masanya kita akan dijemput 'pulang' menemui Tuhan kita.
Dan kita tak akan pernah tahu amalan apakah yang terakhir sekali kita lakukan sebelum menemui pencipta kita.
Kawan,
Jika kita sebagai isteri, mahu membantu meringankan beban kewangan suami, niatkan perkara yang sama. Agar kita ikhlas dan tidak mengungkit-ungkit.
Untuk para suami, jika kalian membelanjakan sebahagian gaji kepada keperluan dan kehendak seisi keluarga, amalkan niat ini. InsyaAllah hati kalian akan cepat redha.
Jika kita mahu bersedekah, niatkan juga perkara sama. Agar sedekah kita menjadi sebaik-baik amalan di sisi Allah.
Buatlah perbuatan apa pun, niatlah seperti ini.
InsyaAllah apa yang kita lakukan dalam jagaan dan perhatian Allah. Semoga ia menjadi sebaik-baik amalan kita sebelum bertemu denganNYA.
Norzi Malek
Orang-orang biasa
Rabu, 23 Disember 2020.
No comments:
Post a Comment