Sunday, 21 September 2025

Doa

Ya Allah, bless my time and efforts in fulfilling these amanah

Grant me sincerity, clarity, and strength to carry them out for Your sake. 

InshaaAllah.. Amminn..


Ya Allah, Ya Bari…
Setiap urusan ini adalah milik-Mu.
Permudahkanlah dan perbaikilah segala urusanku, agar aku dapat melaksanakan amanah yang Engkau titipkan dengan sebaik-baiknya.
Jauhkanlah daripada kelalaian, kebimbangan, dan kesilapan, dan pimpinlah hatiku agar sentiasa ikhlas kerana-Mu.
Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.

Ya Allah, Ya Bari’,
bantulah aku agar setiap perancangan kerja dapat aku laksanakan dengan yakin, tenang, dan sebaik-baiknya.
Susunlah masa dan langkahku dengan sempurna, jauhkan kekeliruan, dan ilhamkan penyelesaian yang terbaik.
Mudahkan jalanku, dan jadikan hasilnya tepat pada waktunya, penuh keberkatan dan reda-Mu.

Ya Allah, kuatkan semangat hamba-Mu ini.
Berikan ketenangan di hati, kekuatan di jiwa, dan cahaya di setiap langkah.
Walau terasa berat, semoga hati tetap teguh dan sabar — kerana Engkau sentiasa bersama orang yang bertawakal.

Hasbunallahu wa ni‘mal wakeel..
Cukuplah Allah menjadi Penolong kami, dan Dia sebaik-baik Pelindung.

La hawla wala quwwata illa billah..

Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan (pertolongan) Allah.

Ulanglah perlahan-lahan, sambil tarik nafas dalam-dalam.
Setiap kali sebut, ingat — bukan kita yang lemah, tapi Allah sedang memegang kita erat supaya kita hanya bergantung kepadaNya.


Ya Allah, Ya Qowwiy, 

Wahai Tuhan Yang Maha Kuat..

Kuatkan hatiku menghadapi ujian ini.
Jadikan aku sabar dalam kelemahan, tenang dalam tekanan, dan tetap yakin bahawa pertolongan-Mu sangat dekat.


Ya Allah, Ya Qowwiy, Ya Mu’akkhir.. Wahai Tuhan Yang Maha Menangguhkan dengan penuh hikmah..
Kuatkan aku untuk menyelesaikan amanah ini sebaik mungkin.
Jika Engkau menangguhkan sesuatu daripadaku, jadikanlah ia penangguhan yang penuh hikmah dan rahmat.
Jangan biar aku berputus asa, tapi pimpinlah hatiku agar terus berusaha dan bertawakal kepada-Mu.

 

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim..

Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.. 

Lembutkanlah hati-hati mereka yang mendengar kisahku.

Jadikan mereka memahami tanpa menghukum, mendengar dengan belas kasihan, bukan sangkaan.

Dan lembutkan juga hatiku, agar aku mampu bercerita dengan tenang, tanpa dendam, tanpa sedih yang berpanjangan — hanya dengan harapan dan redha kepada-Mu..


Ya Allah, Ya Wakil 

Wahai Allah, Yang Maha Mewakili dan Mengurus segala urusan hamba-Nya

bantulah aku melaksanakan waktu yang berbaki ini dengan sebaik-baiknya.
Berkatilah setiap langkah dan niatku, mudahkan urusanku, luruskan jalanku, dan jadikan setiap usahaku bernilai di sisi-Mu.
Aku hanya mampu merancang, namun Engkaulah sebaik-baik Pengurus urusan. 

Ya Allah, aku redha dengan ujian ini.
Jika ini jalan untuk aku dekat dengan-Mu, maka aku terima dengan hati yang sabar.
Berilah kekuatan untuk aku terus berjalan,
dan jangan biarkan aku hilang harapan terhadap rahmat-Mu.


Ya Allah, Ya Ṣabur,

Wahai Allah, Yang Maha Sabar tanpa batas..
Tanamkan di dalam hatiku kesabaran yang mendalam.
Jadikan aku sabar dalam menunggu, sabar dalam bekerja,
sabar menghadapi manusia, dan sabar menerima ketentuan-Mu.
Bila hatiku mulai gelisah, tenangkanlah dengan kasih-Mu.
Bila aku hampir berputus asa, ingatkanlah bahawa pertolongan-Mu itu amat dekat.

Astaghfirullahal ‘Azim,
Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung..

Ya Allah, ampuni aku,
Bersihkan hatiku, tenangkan jiwa & fikiranku, dan dekatkan aku dengan-Mu setiap masa.


Ya Allah, Ya ‘Alim 

Wahai Allah, Yang Maha Mengetahui segala sesuatu, zahir dan tersembunyi.

Berilah aku ilham dan kefahaman untuk melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya.
Bimbinglah fikiranku agar jelas, hatiku agar tenang, dan tindakanku agar tepat serta diredai oleh-Mu.
Jadikan setiap tugasan ini satu jalan untuk aku berkhidmat kerana-Mu.


Ya Allah, Ya Rasheed

Wahai Allah, Yang Maha Memberi Petunjuk ke jalan yang lurus dan penuh hikmah

Ilhamkanlah kepadaku buah fikiran yang baik dan bernas untuk melaksanakan amanah yang telah Engkau pertanggungjawabkan kepadaku.
Tunjukkanlah jalan yang benar, jauhkan aku dari kekeliruan dan keputusan yang tersasar.
Jadikan setiap usahaku berpandukan hikmah, dan setiap hasilnya membawa manfaat serta reda-Mu


Ya Allah, Ya Al-Muta‘ali 

Wahai Allah, Yang Maha Tinggi darjat-Nya, tiada sesuatu pun yang setara dengan-Nya

Tutuplah keaibanku dan lindungilah diriku daripada kelemahanku sendiri.
Aku tahu lidahku kadang terlepas menceritakan kesedihan tanpa aku sedar, maka jagalah tuturku agar tidak membuka sesuatu yang sepatutnya aku serahkan hanya kepada-Mu.
Angkatlah darjatku di sisi-Mu dengan kesabaran, keikhlasan, dan taubat.
Dan jika Engkau kehendaki, jadikan aku mulia di sisi manusia yang berhati ihsan dan penuh kasih. 

Ya Al-Muta‘ali, lindungilah aibku dan muliakan aku dengan rahmat-Mu.


Astaghfirullahal ‘Azim

Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung.

Ya Allah, ampunilah aku, tenangkan hatiku, dan perbaharuilah semangatku untuk terus kuat di jalan-Mu


Ya Allah, Ya Bari’, Ya ‘Alim, Ya Wakil
Engkau Yang Maha Menyusun, Maha Mengetahui, dan Maha Mengurus urusan hamba-Mu.

Bantulah aku mendapat tempat di mana aku boleh berbakti tanpa beban yang melemahkan, tempat di mana aku dapat menyumbang dengan sepenuh hati dan tenang fikiran.

Tunjukkanlah jalan yang Engkau redai, dan izinkan aku bekerja sesuai dengan kelebihan, bakat, dan rezeki yang Engkau kurniakan kepadaku.

Jadikan setiap langkahku menuju tempat itu satu bentuk ibadah kepada-Mu. 

Ya Bari’, Ya ‘Alim, Ya Wakil… tuntunlah aku ke tempat yang Engkau pilihkan, bukan yang aku paksakan..


Ya Allah, Ya Wakil, Ya Bari’, Ya Fattah,

aku melangkah hari ini dengan harapan hanya kepada-Mu.

Permudahkan segala urusanku di tempat kerja, berkatilah setiap usaha dan niatku, lindungilah aku daripada perkara yang melemahkan jiwa, dan jadikan aku insan yang sabar, ikhlas, dan bermanfaat kepada orang sekeliling.

Tuntunlah aku untuk bekerja dengan tenang, jujur, dan penuh hikmah.

Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pengatur segala urusan. 


Ya Allah, Ya ‘Adl

Wahai Allah, Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana dalam setiap ketentuan.

Buangkanlah prasangka buruk dalam hatiku terhadap orang lain.
Jika mereka di pihak yang benar, maka lapangkanlah dadaku untuk menerimanya.
Jika mereka berniat baik, maka lembutkan hatiku untuk melihat kebaikan itu.
Dan jika aku tersilap menilai, ampuni aku dan gantikanlah sangka burukku dengan kasih, sabar, dan hikmah..

Ya Allah, Ya ‘Adl, bersihkan hatiku dari sangka buruk.
Jika mereka berniat baik, lembutkan hatiku untuk melihat kebaikan itu.

Ya ‘Adl, Ya Salaam… tenangkan hatiku, bersihkan fikiranku.


Ya Allah, Ya Sattār  **

Wahai Allah, Yang Maha Menutup aib hamba-hamba-Nya..

Tutupilah keaibanku, zahir dan batin, yang aku sedari mahupun tidak.
Lindungilah aku daripada perkara yang boleh menjatuhkan maruahku, dan jadikan aku hamba yang lebih banyak memperbaiki diri daripada mencari aib orang lain.
Engkaulah sebaik-baik Penutup aib, Ya Sattaar..

Sifat Allah ini sangat lembut — Dia bukan sahaja menutup aib kita daripada pengetahuan orang lain, tapi juga memberi peluang untuk kita bertaubat, memperbaiki diri, dan bangkit tanpa rasa hina.

Ya Sattaar, tutupilah aibku dan gantikan dengan kebaikan..

Ya Allah, lindungilah keaibanku, sembunyikan kelemahanku, dan gantikanlah kekuranganku dengan kebaikan serta kemuliaan di sisi-Mu..

Ya Allah, Ya Sattār,
lindungilah aibku dari pandangan manusia dan dari bisikan hatiku sendiri.
Tutupilah kekuranganku dengan rahmat-Mu,
dan gantikanlah kelemahanku dengan kebaikan serta kekuatan daripada-Mu.
Jadikan aku hamba yang sentiasa memperbaiki diri,
bukan menghitung kekurangan orang lain.
Peliharalah maruahku, rezekiku, dan hatiku —
agar setiap langkahku sentiasa di bawah lindungan-Mu.

Ya Sattār, lindungilah aibku dan tenangkan hatiku.


Ya Allah, Ya Hayy,

Wahai Allah, Yang Maha Hidup, yang tidak pernah mati dan tidak pernah lalai

Ya Allah, Ya Hayy, Ya Qayyum,
Panjangkanlah umurku dalam keberkatan, kesihatan, dan ketenangan.
Jadikan setiap hari dalam hidupku peluang untuk aku memperbaiki diri dan berbuat kebaikan.
Dan jika Engkau takdirkan kematianku, maka matikanlah aku ketika akhlakku, imanku, dan ibadahku berada di kemuncak kebaikan.
Temukan aku dengan-Mu dalam keadaan Engkau redha kepadaku, dan aku redha dengan ketentuan-Mu. 


Ya Allah, Ya Mujib,

Wahai Allah, Yang Maha Memperkenankan doa..

Perkenankanlah permintaanku ini.
Engkau tahu apa yang aku pinta, meski lidahku tak mampu menyebutnya.
Jika ia baik untukku, untuk keluargaku, dan untuk urusanku di dunia serta akhirat,
maka dekatkanlah dan mudahkan jalannya.
Jika sebaliknya, maka gantikanlah dengan sesuatu yang lebih baik dan penuh rahmat-Mu.

Doa Menyempurnakan Amanah & Tugas

Ya Allah, Ya Awwal, Ya Akhir,
bantulah aku menyelesaikan amanah ini dengan sebaik-baiknya.
Mudahkan urusanku dalam menyiapkan setiap amanah tepat pada waktu yang diminta.
Ilhamkan kepadaku ketenangan dalam tekanan,
kebijaksanaan dalam keputusan,
dan keikhlasan dalam setiap langkah yang aku ambil.
Jadikan hasil kerjaku membawa manfaat dan keberkatan,
bukan hanya di mata manusia, tetapi di sisi-Mu, Ya Rabb



No comments:

Post a Comment

Secebis Pesanan untuk Anak-Anak Ibu

Buat anak-anak yang Ibu dikasihi, Abg Faaz Mikael⁩, Kak Leen Humaira⁩ & Hana Sofea… Tidaklah Ibu melahirkanmu dengan niat untuk menjadik...