Sunday, 27 March 2022

Anak Pewaris Risalah

Banyak kali lalu post FedtriYahya.
Nak mencoret sikit petang² ni.

Saat menikah & mengimpikan anak, apa yang diharapkan daripada anak? Apakah matlamat ibu bapa terhadap anak-anaknya? 

Agar si anak boleh menjaganya ketika tua?
Agar si anak boleh beri kemewahan kepadanya ketika tua?

Dari lensa seorang anak, memang banyak ayat-ayat Quran perihal berbuat Ihsan kepada ibu bapa. Anak² yang dididik dengan Iman & dibangunkan potensi taqwa inshaAllah mahu berkhidmat & berbuat Ihsan kepada orang tuanya.
Ada pedoman surah Al-Isra'.
Ada pedoman surah Al-An'am. 

Membaca post FY kali ini, terfikir-fikir. 
Memang ramai yang tahu pedoman wahyu terkait tanggungjawab anak-anak terhadap orang tua.
Tapi, tahukah kita apakah harapan yang seharusnya ibu bapa letakkan terhadap anak²? 

Ada ibu bapa melihat anak² sebagai "objek" atau menjadikannya sebagai aset. Aset untuk bermegah-megahan. 

Anak² dijadikan alat untuk merealisasikan cita-citanya. Bahkan ada yang sanggup memarahi & tidak bertegur-sapa dengan si anak tatkala anak "gagal" membuatkan dirinya bangga di hadapan teman-teman. Yang diutamakan adalah keegoan dan eksistensi diri dengan mempergunakan anak. Kelemahan anak dimarahi bukan dibantu untuk dibaiki. Kerana niat asal bukan "menumbuhkan" anak, Sebaliknya niat asal adalah menjadikan anak "alat" kebanggaan. Niat yang tidak benar ini memberi kesan terhadap peribadi. Tak sabar melihat kekurangan anak². Memarahi kelemahan anak². Tidak ambil tanggungjawab sabar "menumbuhkan" anak². 

Apa punca sikap sebegini?
Cuba perhatikan ayat ini.
=========
Al-Hadid 57:20

ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَٰدِۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَٰمًاۖ وَفِى ٱلْءَاخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلْغُرُورِ 

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
===========

Manusia ini, ada yang lemah imannya pada Akhirat.
Lalu, hidupnya hanya DUNIA.
Jiwa yang berorientasi dunia melihat dunia sebagai permainan, hiburan, bermegah-megah & memperbanyakkan dengan harta & anak². 
Begitulah matlamat hamba dunia.

Salah-satunya memang bermegah-megah dengan anak-anak. 

Justeru, ibu bapa yang beriman kepada akhirat seharusnya bersikap bagaimana?

Ada teladan ibu Maryam a.s yang "membebaskan" anaknya daripada kesibukan dunia (muharraran) kerana mahu anaknya berpeluang punyai masa belajar memahami wahyu agar mampu berjuang atas jalanNya.

============
Aal-e-Imran 3:35

إِذْ قَالَتِ ٱمْرَأَتُ عِمْرَٰنَ رَبِّ إِنِّى نَذَرْتُ لَكَ مَا فِى بَطْنِى مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّىٓۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ 

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
===========

Allah telah memilih sejarah keluarga Imran untuk umat Nabi Muhammad s.a.w ambil pedoman.

Dahsyat.
Sehinggakan nama keluarganya jadi nama surah.

Berapa ramai ibu bapa yang sanggup "infaq" anak-anaknya. Membesarkan anak-anaknya bukan untuk kepentingan peribadi. Membesarkan anak-anak bukan untuk membanggakan diri. Bahkan bernazar membebaskan si anak daripada kesulitan demi menjadikan anak pejuang agama. 

Lalu, Maryam a.s benar² "tumbuh". 
Lihatlah kalimah yang Allah s.w.t gunakan وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا

Untuk menumbuhkan tumbuhan, perlu penjagaan rapi. Cukup air, cahaya matahari, baja. Dan Maryam benar² tumbuh sebaiknya selanjutnya dihantar ke guru terbaik, Nabi Zakariya a.s untuk belajar agama.

=========
Aal-e-Imran 3:37

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاۖ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا ٱلْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًاۖ قَالَ يَٰمَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَٰذَاۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ 

Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".
===========

Begitu teladan seorang ibu.
Teladan ibu yang tindak tanduknya terpandu wahyu.
Kuat Iman pada akhirat sehinggakan sanggup infaq anaknya. 
Bebaskan anaknya daripada menjadi tempat pergantungan orang tua. 
Bebaskan anaknya daripada menjadi aset kemewahan & kebanggaannya.
Berpaut & berharap hanya pada Allah selama-lamanya. 

Ada lagi teladan seorang bapa. 

Nabi Zakariya a.s juga mengharapkan anak. 
Tapi anak yang diinginkan juga diniatkan bukan untuk kepentingan diri.
Bukan sebagai sumber kebanggaan & kemegahan.

Sebaliknya, anak itu diinginkan kerana mahukan pewaris agama, pewaris risalah. 

=========
قَالَ رَبِّ إِنِّى وَهَنَ ٱلْعَظْمُ مِنِّى وَٱشْتَعَلَ ٱلرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنۢ بِدُعَآئِكَ رَبِّ شَقِيًّا 

Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.

وَإِنِّى خِفْتُ ٱلْمَوَٰلِىَ مِن وَرَآءِى وَكَانَتِ ٱمْرَأَتِى عَاقِرًا فَهَبْ لِى مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا 

Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.

يَرِثُنِى وَيَرِثُ مِنْ ءَالِ يَعْقُوبَۖ وَٱجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا 

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai".

Maryam 19:4-6
===============

Niat, misi dan visi orang tua terhadap anak sebenarnya akan mempengaruhi sikap "parenting" masing-masing. 

Niat yang benar akan menzahirkan tindakan yang benar. 

Niat yang salah, memang akan membuahkan banyak tindakan-tindakan yang salah.

Nabi Yaakub a.s yang menjalani hidup mengikut panduan wahyu mampu terus bersabar mendidik anak-anaknya yang nakal. 

Kalau difikirkan logik akal, bagaimana seorang ayah mampu hadap masyarakat dengan anak² yang buat perangai. 
Lebih-lebih lagi kalau zaman sekarang, laju je tersebar di media "ayah ustaz, tapi anak entah macam apa dah." 

Kalau anak diniatkan sebagai aset atau sumber kebanggaan, dapat kita perhatikan ada ibu bapa yang "buang" anak. Tidak mahu peduli lagi. Katanya si anak mencoreng arang ke muka. 

Sebaliknya, jika sudut pandang kehidupan dipandu wahyu, moga-moga ujian anak yang "nakal" diterima sebagai peluang amal soleh, terus sabar mendidik. Usah peduli cakap² manusia. Selagi hidup, yang menilai adalah Allah. Sejauh mana sabar dengan ujian daripada Allah. 

Anak bukan objek untuk ibu bapa membanggakan diri.
Tetapi anak adalah amanah untuk dididik agar menjadi hamba Robbani. 

Akhirnya...
Sabarnya Nabi Yaakub a.s menjadi teladan buat setiap kita. 
Fasobrun Jamil.
Kesemua anak-anaknya bertaubat pada penghujung surah Yusuf. 
Happy ending kan :-) 

"Habis tu, salah ke saya mengharapkan anak-anak jaga saya ketika tua nanti?" 

Sejujurnya, saya tak pasti bagaimana nak jawab soalan ini. 

Yang pastinya, harapan itu sebenarnya tak boleh menjamin. Betapa ramai ibu bapa dengan ramai anak tetapi ditinggalkan di wad-wad hospital. 

Jaminan yang ada adalah bergantung & berharaplah hanya pada Allah.
Dialah sebaik-baik penjaga.

Apakah bukti anda bergantung & berharap pada jagaan Allah?

Pilihlah untuk beramal soleh saat ini.
Pilihlah untuk jadi ibu bapa yang mengimani Akhirat.
Pilihlah jadi ibu bapa yang bertaqwa.
Pilihlah untuk jadi ibu bapa yang muhsin.

Usaha beramal soleh, bertaqwa & muhsin inilah yang menjemput bantuan & kebersamaan Allah.

Dengan taqwa, Allah s.w.t janjikan jalan keluar (At-Talaq:2-3)
Dengan taqwa, Allah s.w.t jamin kemudahan urusan (At-Talaq :4)
Dengan taqwa & jiwa muhsin, Allah s.w.t janji untuk ada bersama (An-Nahl :128). Tidakkah kebersamaan Allah s.w.t itu jauh lebih baik berbanding kebersamaan si anak? 

Moga-moga setiap kita terus dikurniakan hidayah & taufiq.

No comments:

Post a Comment

Secebis Pesanan untuk Anak-Anak Ibu

Buat anak-anak yang Ibu dikasihi, Abg Faaz Mikael⁩, Kak Leen Humaira⁩ & Hana Sofea… Tidaklah Ibu melahirkanmu dengan niat untuk menjadik...